Saturday, 19 March 2016

BAB 4 PERLEMBAGAAN MALAYSIA 

DEFINISI PERLEMBAGAAN 

Perlembagaan merupakan prinsip prinsip asas yang menentukan cara sesebuah negeri itu diasaskan dan diperintah seperti yang termaktub dalam undang undang , adat atau peraturan yang lazim dipakai. 


4.2 SEJARAH PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN 

Sejarah perlembagaan moden Malaysia bermula pada akhir abad ke 19, ketika kerajaan British menguasai Tanah Melayu. 

Kronologi sejarah ringkas penggubalan adalah seperti berikut:

1905 – sebuah badan perundangan pusat yang dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) ditubuhkan. Semua undang-undang yang dibuat oleh mana-mana negeri mestilah bersesuaian dan tidak bertentangan dengan undang-undang yang dibuat oleh MMP. Sungguh pun begitu MMP tidak mempunyai kuasa ke atas hal ehwal agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu.

1927 – melalui pindaan Perjanjian Persekutuan bagi anggota-anggota MMP, MMP diberi kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh negeri-negeri Melayu Bersekutu. Raja-raja Melayu tidak lagi mengambil bahagian dalam perbincangan MMP. Ini menjadikan kuasa kerajaan pusat menjadi kuat. Sementara itu kedudukan Dewan Negeri diperkuat dan beberapa kuasa yang dulunya dijalankan oleh Ketua Setiausaha (Pegawai British) diserahkan kepada Dewan Negeri. Jawatan Ketua Setiausaha ditukar kepada Setiausaha Persekutuan.

Di bawah Malayan Union pula, segala kuasa terletak di tangan gabenor termasuk kuasa memberi ampun pada orang salah. Gabenor boleh membatalkan segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Perundangan. Majlis Perundangan Negeri di setiap negeri pula hanya boleh membuat undang-undang tentang perkara tempatan sahaja dan ia boleh dibatalkan oleh Majlis Perundangan Malayan Union
.  

1948 – Malayan Union dimansuhkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 2 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang. Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto (pembatal) untuk menghalang rang undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sementara itu Majlis Perundangan Negeri mempunyai kuasa yang terhad seperti yang disebuat dalam Jadual Kedua bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948. 

Jun 1955 – pilihanraya pertama diadakan bagi memilih anggota-anggota Majlis Perundangan Persekutuan – mengandungi 52 anggota yang dipilih, 34 anggota yang dilantik dan 12 pegawai kerajaan, dan seorang Pengerusi dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dengan persetujuan Raja-raja.

Mac 1956 – Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk yang diketuai oleh Lord Reid. Jawatankuasa ini diberi tugas merangka Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat.Jawatankuasa ini mula menjalankan tugasnya pada Jun 1956, dan telah menggemukakan laporannya pada Disember 1956. Laporan ini dikaji, diteliti dan kemudiannya digubal menjadi Perlembagaan Persekutuan.

Pembentukan perlembagaan telah diluluskan pada 27 Ogos 1957 dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957.

Julai 1963 – Perjanjian Malaysia ditandatangani di London oleh kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Mengikut perjanjian ini Parlimen British akan meluluskan satu undang-undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu undang-undang yang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963 


4.3 KELUHURAN PERLEMBAGAAN   

Keluhuran perlembagaan bermaksud Keagungan dan ketertinggian undang-undang. Perlembagaan Malaysia mengatasi Yang diPertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah. Semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia adalah tidak sah.

Undang-undang negeri mesti selaras dengan perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang negeri terbatal sekiranya bertentangan dengan Perlembagaan .
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada mahkamah membatalkan akta yang diluluskan di luar bidang kuasa parlimen atau bercanggah dengan perlembagaan.  



4.4 PERUNTUKAN UTAMA DALAM PERLEMBAGAAN 

Perlembagaan Persekutuan Malaysia terhasil sejak kemerdekaan masih mengekalkan peruntukan-peruntukan penting dalam perlembagaan seperti hak asasi, kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu, agama dan bahasa. Ini merupakan satu langkah untuk merealisasikan cita-cita mewujudkan sebuah negara yang demokrasi dan adil untuk semua pihak.

BAHASA MELAYU

 Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan semenjak abad ke-15 dengan wujudnya Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman penjajahan British, bahasa Melayu mulai merosot memandangkan bahasa Inggeris lebih diutamakan. Kedudukan bahasa Melayu dikaji semula dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Kedudukan bahasa Melayu telah dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan bahasa Melayu mestilah digunakan untuk maksud-maksud rasmi (termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam). Perkara ini juga melindungi bahasa-bahasa lain dan tidak ada sesiapa pun yang dilarang daripada menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu


AGAMA 

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi Perlembagaan Persekutuan juga memberi kebebasan kepada semus individu untuk mengamalkan agamanya sendiri secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/sultan bertindak sebagai Ketua Agama di negerinya. Manakala, YDPA juga berperanan sebagai Ketua Agama Islam hanya di negerinya sahaja, Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak. Mengikut perlembagaan, agama Islam terletak dalam Senarai Negeri. Ini bermaksud hanya negeri-negeri sahaja yang berkuasa dalam hal perundangan agama Islam. Antara perkara yang terkandung di bawah kuasa perundangan negeri mengenai Islam ialah: 
 1. Hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga 
 2. Adat istiada Melayu 
 3. Wakaf
 4. Fitrah 
 5. Zakat
 6. Baitulmal
 7. Masjid 
 8. Mahkamah Syariah

KEWARGANEGARAAN

 Peruntukan-peruntukan pemerolehan keawrganegaraan disenaraikan dalam Bahagian 3, Perkara 14 hingga Perkara 22 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 23 hingga Perkara 28 Perlembagaan Persekutuan pula, menyenaraikan ciri yang berkaitan dengan kehilangan kewarganegaraan. Seseorang itu boleh mendapatkan kewarganegaraan melalui empat cara, iaitu: 
 1. Secara kuat kuasa undang-undang
 2. Secara pendaftaran/permohonan
 3. Secara masukan/naturalisasi 
 4. Secara cantuman wilayah  

HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU 
 Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, orang Melayu ditakrifkan sebagai: 
1. Seorang yang beragama Islam.   
2. Bertutur bahasa Melayu. 
3. Mengamalkan adat istiadat Melayu.
 4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.

 Manakala, Bumiputera di Sabah dan Sarawak (termasuk bukan Melayu) tergolong menerima keistimewaan seperti mana yang diperoleh orang Melayu di Tanah Melayu. Antara perkara yang termasuk dalam keistimewaan orang Melayu sebagai kaum Bumiputera ialah: 
1. Perkhidmatan awam 
2. Ekonomi 
3. Pendidikan

KEBEBASAN ASASI 
Kebebasan asasi seseorang individu telah diperuntukkan dalam bahagian-bahagian Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara kebebasan asasi adalah seperti berikut: 

  1. Kebebasan diri 
  2. Keabdian dan kerja paksa 
  3. Kesamarataan di sisi undang-undang
  4. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak 
  5. Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan 
  6. Kebebasan beragama
  7. Kesamarataan dalam pelajaran
  8. Hak untuk berharta 
  9 Perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa kebelakangan dan       perbicaraan berulang 

















No comments:

Post a Comment